Skip to main content

Kaka ‘curi’ lagu Alif


Single duet terbaharu dari Kaka yang bakal menaikkan lagi namanya dalam industri muzik di tanah air mahupun di peringkat antarabangsa.


KALAU mengikut hukum sifir, kejayaan fenomena sesebuah lagu perlu ada cetusan kimia dan persefahaman yang telus antara penyanyi serta pencipta lagu.
Barangkali, itu fungsi kebergantungan antara Kaka Azraff dengan rakan yang juga penggerak kebanyakan lagu hitnya, Alif Sleeq.
Selepas fenomena lagu Bukan Hal Aku, dua rakan karib itu sekali lagi bekerjasama menerusi single berjudul Sibuk yang merupakan ciptaan Alif sepenuhnya. Lelaki itu turut bertindak sebagai produser lagu berkenaan.
MEMAHAMI - Kaka menyifatkan Alif bukan hanya sebagai komposer yang berbakat tetapi turut memahami dirinya. Dia juga teman berborak yang baik.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, dia mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan single terbaharu kerana memberi fokus kepada bidang lakonan.
“Saya mencari masa yang sesuai untuk melancarkan single ini kerana selama setahun juga saya sibuk dengan bidang lakonan.
“Filem Zharfa The Movie sudah selesai penggambaran dan drama bersiri Inai Yang Hilang sedang ditayangkan rancak di ntv7. Saya kira sekarang adalah waktu yang tepat untuk fokus semula dalam bidang nyanyian,” jelas wanita berusia 29 tahun itu.
Mengulas lebih lanjut berkenaan filem Zharfa The Movie, kata Kaka, ia merupakan filem Indonesia yang turut menampilkan pelakon dari seberang seperti Donny Alamsyah Benjamin.
“Saya memegang watak utama dalam filem ini. Banyak emosi yang dipaparkan seperti unsur kekeluargaan, babak berlawan dan sebagainya.
“Insya-Allah, kalau dengan filem ini membuka peluang dikenali di Indonesia, saya juga ingin membawa muzik saya ke sana,” katanya yang mendedahkan banyak mendapat tawaran menyanyi di Filipina serta Indonesia.


Curi lagu

Berbalik soal single Sibuk, mengikut perancangan asal, lagu berkenaan ingin dinyanyikan secara solo oleh Alif, namun ‘dicuri’ oleh Kaka saat pertama kali lagu itu diperdengarkan kepada Kaka itu.
“Sebenarnya, lagu Sibuk sepatutnya dinyanyikan oleh Alif. Pertama kali dengar, saya terus jatuh cinta dan mendesak supaya Alif memberikan lagu tersebut kepada saya.
“Minta maaf kepada Alif kerana lagu Sibuk sepatutnya dimasukkan untuk album solonya yang dirancang dikeluarkan awal tahun depan. Terima kasih juga kerana dia selalu memberikan yang terbaik untuk muzik saya,” kata Kaka.
Memberi respons kepada hal tersebut, Alif berkata: “Kita mahukan muzik atau bunyi yang konsisten untuk Kaka. Pada masa yang sama, ingin menjelajah elemen baharu namun tidak terlalu terpesong daripada jajaran muzik asal dirinya.
“Saya telah menyimpan lagu ini selama setengah tahun. Saya tidak menyesal beri kepada Kaka kerana berjaya dilancarkan dan didengari oleh pendengar. Saya yakin dia mampu memberi keadilan terhadap lagu ini.”

Album

Kaka turut berkongsi bakal muncul dengan album debut sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan. Katanya, dia akan menggunakan khidmat Alif sebagai produser kerana selesa bekerjasama dengannya.
“Paling maksimum 10 buah lagu dan paling kurang lapan lagu. Kerja dengan Alif membuatkan saya amat selesa. Dia bukan jenis yang tangkap muat dan apa yang dia bikin, kena dengan cita rasa saya.
“Keserasian antara saya dengan Alif memang sudah ada sejak pertama kali bekerjasama. Kalau berborak pun, kami mudah mencapai kata sepakat dan itu membuatkan saya ‘melekat’ dengan dia,” jelas Kaka yang juga merupakan anak buah kepada penyanyi rock, Ella.
Seperti Kaka, Alif juga sedang berkira-kira untuk muncul dengan album solo. Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah itu belum bersedia untuk terlalu memperincikan tentang hal itu.
“Album solo mungkin awal tahun depan. Saya tidak mahu membuang masa kerana sudah ada banyak lagu, cuma perlukan waktu yang sesuai untuk fokus kepada penerbitan album ini.
“Selain itu, banyak juga lagu yang sudah saya cipta untuk beberapa penyanyi lain,” kata penyanyi kelahiran Singapura itu.

Fokus kerja

Dijentik secara manja mengenai hal peribadi, Kaka berkata, tidak pernah berasa tertekan dengan status dirinya yang masih solo walaupun usianya sudah menjengah 29 tahun.
Tutur Kaka, kesibukan dengan karier seninya membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk berfikir soal pasangan hidup buat masa ini.
“Sudah hampir dua tahun saya bersendiri. Sejujurnya, saya tidak tertekan dengan keadaan itu kerana sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon.
“Sebenarnya saya suka sibukkan diri kerana dengan cara itu saya tidak berasa kosong. Ada banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun ujar Kaka lagi, itu bukan bererti dia tidak mengambil berat mengenai soal jodoh, malah memberitahu pernah cuba memulakan hubungan, namun ia tidak kesampaian.
“Kalau ada kekasih atau ingin berkahwin mesti saya berkongsi berita itu, namun setakat ini memang tiada.
“Seronok tengok rakan-rakan rapat sudah berkeluarga. Alif pun sudah ada anak. Namun bagi saya, berkawan itu ada tetapi sekadar itu sahaja atau hubungan itu tidak menjadi. Insya-Allah akan sampai masa jodoh saya,” jelasnya.
Sementara itu, single Sibuk sudah boleh didapati di semua pelantar digital seperti spotify, iTunes, KKBox, Deezer dan Apple Music bermula 20 Julai lalu, manakala muzik videonya akan dilancarkan di YouTube pada 3 Ogos depan.



Comments

Facebook

TERKINI